Perpaduan di Malaysia.

 PERPADUAN DI MALAYSIA.




Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik. Antaranya ialah Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban dan lain-lain. Dengan penduduk yang pelbagai budaya ini, perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini.

Oleh kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini, maka timbulah pelbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik. Boleh dikatakan bahawa perkauman akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum.


Kepentingan Perpaduan 

'Bagai aur dengan tebing' merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara.  
 

Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. 

 
Selain itu, perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. 


Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.


Langkah-langkah mengeratkan perpaduan di Malaysia. 

Negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum seperti negara Malaysia ini sangat memerlukan usaha-usaha untuk memupuk perpaduan kaum bagi membina negara yang aman dan harmoni. Seperti yang kita lihat, perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini tidak pernah utuh sejak negara mencapai kemerdekaan. Lebih parah lagi apabila wujud defisit kepercayaan khusunya melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Defisit kepercayaan ini adalah sesuatu yang wujud tetapi tidak banyak diperkatakan kerana sensitif. Tetapi ia satu hakikat bahawa orang Cina tak percaya orang melayu, orang Melayu mencurigai orang India dan begitulah sebaliknya.

 

Terdapat beberapa langkah bagi mengeratkan perpaduan rakyat di Malaysia supaya tidak berlakunya rusuhan antara kaum. Antaranya ialah

1. Menganjurkan majlis rumah terbuka.

Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, seluruh rakyat negara Malaysia memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan berhubung antara satu sama lain dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Cara ini juga dapat memupuk semangat saling bantu-membantu di antara satu sama lain dalam masyarakt Malaysia.

2. Agenda Program.

Dengan menganjurkan program-program yang bermanfaat sesame masyarakat seperti Sambutan Hari Keluarga, Sambutan Hari Ibu, Sambutan Hari Bapa dan Sambutan Hari Perayaan, semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia ini dapat disemarakkan. Pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar pendapat dan idea berkaitan sesuatu isu semasa mahupun global atau kemasyarakatan.

3. Peneraparan nilai-nilai budaya dan warisan dalam aktiviti harian.

Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Oleh itu, rakyat boleh mengaplikasikan dan berkongsi budaya kaum mereka itu sendiri dengan kaum laindari aspek seperti pemakanan, pemakaian dan peradaban. Sebagai contoh, semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis mahupun kuliah  di universiti. Makanan India seperti roti canai dan tosei juga semkan diminati oleh kaum-kaum lain.


Cabaran utama untuk mengekalkan perpaduan.

Cabaran utama untuk mengekalkan perpaduan kaum adalah kewujudan sistem pendidikan berbeza. Sistem persekolahan pelbagai aliran hanya akan menambahkan lagi jurang perpaduan kaum. Contohnya, wujudnya sekolah tamil dan sekolah cina yang mengasingkan pelajar India dan Cina.


Perbezaan parti politik di Malaysia yang berasaskan perkauman juga akan menyukarkan perpaduan kaum. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa fahaman parti politik merupakan salah satu cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum dinegara ini. Contohnya Barisan Nasional majoriti diikuti oleh bangsa Melayu/ Bumiputera manakala MCA diwakili oleh bangsa Cina dan MIC oleh bangsa India.


Laman sosial juga antara cabaran lain untuk mengekalkan perpaduan kaum. Penyebaran fitnah dan menyentuh sensitivi perkauman kaum kian berleluasa dilaman sosial. Oleh itu, jika tidak dibendung akan menyebabkan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 kembali berulang.


Sektor ekonomi yang berbeza juga menyukarkan perpaduan kaum . Perbezaan sektor ekonomi ini pada mulanya diasaskan oleh dasar penjajahan British di Tanah Melayu . Contohnya ,masyarakat Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan di kampung, masyarakat Cina pula mewarisi perniagaan secara turun-temurun dan tinggal di bandar manakala masyarakat India bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di estet .


Selain itu, sikap invidu yang terlalu memupuk semangat sesama kaum juga antara cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum. Sikap individu sedemikian hanya menjarakkan lagi jurang perkauman di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Contohnya, individu yang berbangsa Melayu tidak bergaul dengan bangsa Cina dan India kerana merasakan tidak bersefahaman atau sehaluan.


Kesan- kesan perpaduan di Malaysia.

Kesan-kesan kerjasama antara kaum kepada kesejahteraan negara Malaysia ialah dapat melindungi negara daripada ancaman kuasa luar. Negara yang mempunyai masyarakat yang bekerjasama antara satu sama lain dapat melemahkan Gerakan kuasa luar yang ingin menakluk negara kerana kunci rahsia negara dikawal ketat oleh sikap masyarakat yang saling bekerjasama dalam menjamin kedaulatan negara.

Selain itu, perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat juga dapat diwujudkan. Perpaduan rakyat amat penting demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Masyarakat yang Bersatu padu akan melahirkan sebuah negara yang aman dan tiada masalah pertelingkahan antara kaum berlaku.

Seterusnya, negara Malaysia juga akan dihormati dan disegani oleh negara asing kerana kekal aman meskipun terdapat masyarakat yang berbilang kaum. Kuasa luar yang berminat untuk menguasai negara akan membatalkan niat mereka kerana takut dengan semangat rakyatnya dalam mengekalkan keamanan negara.

Di samping itu, ekonomi negara juga akan meningkat. Para pelabur asing tidak akan berasa was-was untuk melabur di negara Malaysia kerana negara yang aman dan bersih dari segala masalah. Pelancong asing juga berminat untuk melancong di sini kerana negara yang aman dan makmur.

Oleh yang demikian, kerjasama antara kaum dapat memudahkan Malaysia menuntut hak sebagai warganegara. Contohnya, hak keistimewaan dalam memilih calon pemimpin untuk mentadbir negara dan sebagainya.

 

Kesimpulan.

Keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila amalan perpaduan kaum telah meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seperti yang kita ketahui, tanpa perpaduan kaum, keamanan tidak dapat diwujudkan kerana rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga menghancurkan keamanan sesebuah negara yang telah dibina itu. Pertelingkahan yang berlaku antara rakyat hanya akan menghasilkan suasana hidup yang porak-peranda. Sebab itulah, perpaduan kaum penting untuk meningkatkan keamanan Negara.

Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan kaum. Janganlah kita bersikap evasive mahupun ”bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”  kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Leftenan Adnan.